4 mangsa dipercayai tertimbus konkrit yang telah mengeras


 

GEORGE TOWN: Seramai empat mangsa insiden runtuhan tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, di sini dipercayai telah tertimbus konkrit yang sudah mengeras.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Zulfahmi Sutaji berkata, ini kerana faktor cuaca yang panas menyebabkan konkrit berkenaan telah mengeras selain kejadian itu juga telah berlaku 12 jam lalu.

IMG 20231129 WA0277 1 600x443
ZULFAHMI SUTAJI

”Mangsa mungkin dalam konkrit yang telah mengeras kerana 12 jam telah berlalu, namun konkrit ini bukan dalam keadaan yang mampat.

“Semua konkrit yang dibancuh kira-kira pukul 9 malam tadi telah jatuh dari ketinggian 18 meter.

”Mangsa-mangsa dipercayai berada di dalam kawasan seluas gelanggang bola tampar dan apabila keadaan tapak runtuhan telah selamat kita akan mulakan operasi mencari dan menyelamat,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulfahmi berkata, pada masa ini pasukan bomba sedang berusaha mengalihkan rasuk utama seberat 33 tan di tapak berkenaan bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.

”Kami mengubah beberapa strategi, fokus utama kami untuk mengalihkan tiang rasuk utama seberat 33 tan, selepas dialihkan pasukan penyelamat akan memulakan kerja-kerja mencari mangsa.

”Keadaan cuaca yang panas hari ini juga turut membantu dari segi operasi

kerana sekiranya hujan akan menyukarkan kerja serta menyukarkan operasi mencari mangsa,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya tidak dapat menjangkakan sama ada kesemua mangsa berjaya ditemukan hari ini.

“Kita tidak tahu apa lagi halangan yang akan kami hadapi selepas ini, oleh itu, saya tidak boleh menjangkakan operasi dapat diselesaikan hari ini.

“Ketika ini, sudah masuk percubaan ketiga untuk kita alihkan dan sedang tetapkan untuk percubaan kali keempat. Tiang utama yang senget memberi risiko kepada kami (pasukan penyelamat).

“Apabila melibatkan struktur konkrit runtuh, apabila kita tarik, ia akan berkaitan antara satu sama lain, tiang rasuk, lantai besi cerucuk.

“Semua berkaitan dan boleh menyebabkan struktur lain turut bergerak,” katanya. – UTUSAN

 

 



Leave a Comment